judi HARAM bagi semua agama dan bangsa. JOM bantah!!!

Terkini

[rockyou id=157991545&w=800&h=480]

Judi sukan dibenarkan semula?

Adakah judi sukan akan dibenarkan di negara ini? Persoalan itu timbul lagi apabila jawapan daripada perdana menteri yang juga menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak menimbulkan pelbagai andaian.

Menjawap soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Najib berkata kerajaan masih belum memberikan sebarang lesen bagi perkhidmatan pertaruhan yang berkaitan dengan Piala Dunia Fifa 2010.

‘Kerajaan akan menawarkan lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd untuk perkhidmatan pertaruhan (tidak termasuk Piala dunia 2010) kerana syarikat ini telah diberikan kelulusan sebelum ini untuk menjalankan aktiviti itu,” kata Najib.

“Oleh demikian, kerajaan berpendapat jika lesen pertaruhan sukan dipertimbangkan, Ascot Sports akan mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman mereka.”

Syarat dan peraturan pemberian lesen itu juga dinyatakan dalam jawapan itu berserta dengan justifikasinya – bagi mengawal dan membanteras kegiatan judi haram di negara ini.

Bulan lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan judi sukan diteruskan berikutan bantahan meluas daripada pelbagai kalangan rakyat. Ia diumumkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat tertinggi Umno.

Mahfuz yang keliru dengan jawapan yang diberikan kemudian menyoal “jadi, akhirnya, kerajaan akan membenarkan judi sukan untuk kejohanan atau liga lain seperti Liga Perdana Inggeris?”

“Jawapan itu bercanggah dengan apa (Najib) umumkan sebelum ini. Sekarang, beliau perlu memberikan penjelasan lanjut.”

Menurut Mahfuz keputusan itu juga meletakan status judi sukan kini tergantung kerana sepatutnya kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata Najib perlu mengaku jika beliau membuat kesilapan dan tidak mempersalahkan orang lain seperti yang dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, baru-baru ini.

Nazri menyalahkan seorang pegawainya berhubung sumber tidak tepat mengenai rancangan memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya.

“Kita tidak sepatutnya menyalahkan kepada pegawai kerajaan semata-mata kerana jawapan bertulis sepatutnya diperiksa terlebih dahulu oleh menteri berkenaan,” kata Mahfuz di lobi parlimen.

Gambar sekitar Himpunan Tak Nak Judi di Mesjid Negara pada 3 Julai 2010

Gambar oleh: dhamam

Hadapi judi dengan kempen bukan bertembung – GMJ

KUALA LUMPUR, 3 Julai: Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengambil pendekatan kempen bukannya bertembung dengan mana-mana pihak dalam memastikan aktiviti perjudian di negara ini dihapuskan.

Antaranya, mereka akan berbincang dengan pihak media bagi membolehkan kempen memansuhkan aktiviti perjudian di negara ini berjalan lancar.

Antara yang disasarkan oleh GMJ adalah semua media tidak lagi menyiarkan sebarang iklan untuk judi di samping tidak menyiarkan keputusan sebarang aktiviti perjudian.

“Kami akan berbincang dengan media dalam hal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan. Jika tidak berubah mungkin akan sampai kepada peringkat boikot,” kata Pengerusi GMJ, Azmi Hamid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perhimpunan anti judi di perkarangan masjid negara petang tadi. Kira-kira 3,000 peserta dari 60 NGO dan parti politik menyertai perhinpunan ini.

Ia telah ditangguhkan ke jam 5 petang dari rancangan awalnya pada jam 1.30 tengahari bagi menghormati pengkebumian jenazah Allahyarhamah isteri bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail.

Antara yang hadir di majlis perhimpunan ini adalah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar.

Sekarang ini, hampir saban hari akhbar harian menyiarkan aktiviti perjudian termasuk keputusan lumba kuda dan judi nombor ramalan iaitu ekor dan toto.

Ia sudah sampai ke peringkat dibuat gurauan, laporan yang benar dan tepat untuk sesetengah media Umno adalah keputusan toto dan empat nombor ekornya.

Dalam pada itu, GMJ telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membuat keputusan dalam kabinet bukannya Majlis Tertinggi Umno tentang pembatalan pemberian memberikan lesen judi sukan kepada kumpulan Berjaya.

Ini kerana, isu pemberian lesen bukan urusan Umno tetapi urusan kerajaan dan kabinet adalah tempat membuat keputusan yang tepat.

“Kami telah menghantar surat namun sehingga kini belum mendapat apa-apa jawapan dari PM,” kata Azmi.

Ekoran pembatalan pengeluaran lesen judi itu, GMJ juga sedang mengkaji semula memorandumnya kepada Yang Dipertuan Agung.

“Kami yakin ia masih relevan tetapi perlu kepada pengubahsuaian,” kata Azmi kepada wartawan.

GMJ juga meminta semua negeri mencontohi Kelantan dalam mengendalikan isu perjudian iaitu dengan tidak mengeluarkan sebarang lesen judi.

“Kita faham, ia tidaklah boleh dijalankan serta merta tetapi kami akan berbincang agar semua negeri boleh membuat tindakan ke arah itu,” katanya.

Wajib Baca : Kenapa rakyat perlu turun Kempen “Tak Nak Judi” 3hb Julai 2010?

Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Baca baki laman ini »

Tidak keluar lesen judi kerana agama?

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan atas pertimbangan agama dan kesan politik harus dipersoalkan keikhlasannya.

Ini kerana Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpendapat bahawa hal-hal berkaitan judi telah ada nas yang jelas dan pasti berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah Al-Maaidah ayat 90.

Oleh itu, kata timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani (gambar), ia tidak perlu dibincangkan atau ditimbang-timbangkan.

“Kenapa hanya judi sahaja yang dipertimbangkan sedangkan ISA, hudud, rasuah, arak, aurat, pusat maksiat yang semakin membiak di negara ini tidak dibincangkan dalam konteks agama,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPP juga, katanya mempersoalkan sejak bila kerajaan Umno BN mempertimbangkan sesuatu perkara mengambil kira pendapat rakyat.

Sedangkan, tambahnya sebelum ini mengapa kerajaan tidak pernah mendengar akan rintihan rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya.

“Jelas di sini kerajaan semakin takut akan kebangkitan rakyat yang begitu memarahi kerajaan Umno BN yang suka bertindak mengikut penilaian politik tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat marhaen,” ujarnya lagi.

Baca baki laman ini »

Demo di teruskan pada 3 Julai ini….

Memandangkan bahawa tugas kita mendidik rakyat membenci judi baru bermula, masih terlalu banyak lesen judi yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan masih serius lagi kesan sosial & jenayah berpunca daripada judi maka mesyuarat Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 27-Jun-2010 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Perhimpunan Rakyat pada 3-Julai-2010 jam 2 petang tetap akan diadakan di Masjid Negara. Perhimpunan ini di namakan Himpunan.

Rakyat Tak Nak Judi. Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan dalam himpunan ini

-Suhaizan Kayat.

Dr. Mahathir Kepala Judi Negara

leh Nasrudin Hassan at-Tantawi

Kenyataan yang angkuh , sombong dan bodoh ! … itulah yang boleh kita katakan kepada Tun Dr. Mahathir di atas kenyataan terbarunya berkait sokongan beliau terhadap industri judi dalam Negara. Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa : ” Jika saya jadi kerajaan , saya luluskanlah”. Satu kenyataan yang cukup biadab justeru ia bercanggah dengan Islam dan semua agama . Tidak syak bahawa judi adalah musibah dan malapetaka kepada negara dan rakyat.

Memang telah diketahui umum bahawa Malaysia telah terkenal sebagai Darul Kasino di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Bermula dari sekecil – kecil judi seperti berlaga ayam sehinggalah judi di puncak bukit dan judi diatas kapal wujud dalam negara kita. Tidak hairan jika Tun Dr. Mahathir begitu teruja untuk terus menyokong industri judi dan perluasannya di dalam negara ini . Lagaknya bercakap tak ubah seperti dia masih Perdana Menteri sedang Dato’ Seri Najib selaku Perdana Menteri hari ini jelas kelihatan teragak – agak untuk bercakap soal judi bila berdepan dengan penentangan dari rakyat .
Berbeza dengan sikap Tun Dr. Mahathir yang terus mempamerkan kejahilannya yang sukar dididik kepada umum , apabila menyamakan isu judi seperti isu babi yang perlu diluluskan oleh kerajaan untuk bukan Islam dengan alasan ianya tidak haram untuk bukan Islam. Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) mencabar Tun Dr Mahathir menjelaskan agama mana dan agama apa yang menghalalkan judi? atau agama apa yang dianut oleh Tun Dr Mahathir?

Judi telah ditentang oleh pelbagai agama dan bangsa kerana menyedari kesan buruk dari judi selain ianya turut diharamkan oleh pelbagai agama termasuk kristian , budha dan hindu . Sebagai contoh , judi turut ditentang oleh Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen . Mereka semuanya bergabung dalam satu wadah Gerakan mebantah Judi GMJ. Semua mereka adalah berbangsa Cina dan bukan Islam.

Tidak cukup lagi kah pelbagai jenayah dan keruntuhan akhlak serta kepincangan sosial yang berlaku ekoran industri judi yang kian berleluasa . Sepatutnya sebagai orang tua negara , Tun Dr Mahathir sepatutnya lebih peka terhadap masa depan generasi muda dan keamanan atau kesejahteraan negara . Bukan terus mengheret rakyat khasnya generasi muda terjerumus dalam kancah perjudian yang hanya meletakkan mereka terus bergantung nasib di meja perjudian, tidak lagi menjadi warga negara yang berdikari dan berbakti kepada Negara.

Negara masih mempunyai banyak pilihan untuk mencari dana dan meningkatkan upaya perolehan hasil negara tanpa menyuburkan industri judi yang turut membawa kesan buruk kepada pertumbuhan insan dan generasi dinamik masa depan. Menyuburkan industri judi ertinya mempertingkatkan usaha untuk membunuh jati diri rakyat dan daya berdikari generasi masa depan negara.

DPPP menyeru supaya rakyat bangkit dengan tegas dan yakin untuk mendesak kerajaan agar tidak melangsungkan usaha mereka untuk menyuburkan lagi industri judi negara Judi terbaru ialah melibatkan industri sukan. Selepas ini sukan tidak lagi menjadi riadhah atau aktiviti yang bertujuan untuk menghasilkan pemikiran dan jasad yang sihat sebaliknya menjadi aktiviti yang dipertaruhkan. Pertaruhan inilah akan menghasilkan kesan buruk kepada masyarakat. Pertaruhan sering mendorong berlakunya pergaduhan. Yang menang dilihat menindas yang kalah sementara yang kalah menyimpan dendam tidak berkesudahan. Kekalahan pula membuatkan mereka terdesak lalu mereka akan terjebak dalam kancah jenayah ragut, curi, rompak dan bunuh serta membunuh diri.

Perjudian adalah satu penindasan . Hampir tiada yang berjudi menjadi kaya dengan hasil judi melainkan keuntungan besar hanya akan dikaut oleh tauke judi. Bahkan judi memerangkap penjudi menjadi hamba kepada nasib yang tidak menentu tanpa memiliki kudrat untuk bangkit berdikari mencari hasil dari sumber yang halal dengan keupayaan sendiri. Judi melahirkan generasi pemalas dan lemah upaya untuk berdikari.

Justeru itu sekali lagi DPPP menggesa supaya seluruh rakyat prihatin terutama generasi muda untuk turun bersama Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) menyertai Himpunan Aman 100K pada 03hb Julai 2010 dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Ke bawah Duli Yang diPertuan Agong.

Disediakan oleh

HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Sambutan kemenangan ganti demo anti judi

Perhimpunan besar-besaran pada 3 Julai depan bagi membantah pemberian lesen judi sukan akan tetap diadakan tetapi dijadikan sambutan meraikan kemenangan.

Bagaimanapu

n menurut Gerakan Rakyat Bantah Judi (GMJ), mereka akan membatalkan hasrat untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jurucakap GMJ, Suhaizan Kayat (kanan) berkata meskipun pihaknya mencatatkan kejayaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan malam semalam bahawa lesen judi berkenaan akan ditarik balik, namun momentum untuk berhimpun masih belum pudar.

“Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dari seluruh negara, yang masih mahu behimpun. Jadi, kami mungkin mengantikan perhimpunan itu sebagai sambutan meraikan kejayaan,” katanya ketika dihubungi.

Suhaizan juga berkata dia masih tidak yakin dengan pengumuman kerajaan itu dan akan mendapatkan penjelasan berhubung kesahihan keputusan penarikan balik kelulusan lesen judi seperti dilapor media semalam.

Katanya, penjelasan itu perlu berikutan keputusan pembatalan hanya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan ataupun jemaah menteri.

“Keputusan seharusnya dibuat oleh kerajaan dan kabinet, dan bukannya hanya Umno,” kata Suhaizan.

“Siapa tahu, mungkin Umno tidak bersetuju tetapi kabinet masih boleh meneruskan supaya lesen (judi sukan) diberikan.

“Kami mahu keputusan yang sahih daripada kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Suhaizan, GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak kerajaan berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan itu hanyalah dibuat oleh mesyuarat Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan.

“Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad, 27 Jun, jam 11 pagi di Kuala Lumpur untuk membincangkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Umno tolak judi sukan, kelulusan ditarik balik

Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

“Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya.”

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.

Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

“Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial,” tambahnya.

Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan “kita ambil kira semua pandangan ini”.

“Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

“Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut,” tegas perdana menteri.

Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.

Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini.